Rabu, 7 Mei 2008















sebuah karya

Yusuf Fansuri

SI TUKANG KEBUN

- Untuk sobatku Rahimidin Zahari


di garis khatul

kautulis kisah

jalan alam

kembara harap


menafsir isyarat

muslihat manusia

mukjizat tuhan


kau si tukang kebun

memilih subur benih

memugar batas umbur


kautahu rahsia

tanah sekepal

biar berfaedah


di garis hayat

kaupisah jelas

dunia dua

fana dan baqa.




















sebuah karya
yusuf fansuri

BARANGKALI

-Untuk Za'aba Sempena Hari Lahir

barangkali
lebih begini selesa
diam & memerhati

segala tanpa ikatan
segala tanpa huraian
di antara garisan

rindu tak perlu kata-kata
hanya perlu dirasa
seadanya

cinta tak perlu lafaz
hanya perlu disari inti
rahsianya

barangkali
mafatih kasmaran
magis suci tuhan.











Sebuah karya
Yusuf Fansuri

DENAI ANGIN

- untuk Abang Marsli N.O


jadilah denai angin
yang mendamai
resah tanah gundah

jadilah denai angin
yang membelai
kelikir di air

jadilah denai angin
yang mendingin
api di puncak nyala

jadilah denai angin
yang memberi
sejuta nyawa di udara














sebuah karya

Yusuf Fansuri

MEMUGAR RENTA

- Untuk Abg Pharo

usah resah menunggu senja
garis-garis jingga punya misteri
rahsia pintu malam si pencinta
menunggu detik bertemu Sang Kekasih

detik & waktu ‘kan berlalu
adalah hidup perjalanan pencarian
apa dicari dan ingin ditemui
mungkin tersembunyi disisi

insan seniman itu sepi
bukan tersisih musim muda
kerana sunyi guru bijaksana
dalam memakna hidup fana

tulislah sanjak-sanjak CINTA
agar bisa memugar renta
‘tuk manusia kembali
sayang & menyayangi

usah gundah menanti pagi
sinar si matahari pasti ada
menyuluh setiap jalan kita
menghirup udara penuh wangi.