Isnin, 2009 April 27

foto ehsan iman daud

sebuah karya
Yusuf Fansuri
MENDAKI DINDING TINGGI
kepada peran-peran teater "Wangi Jadi Saksi"

tanggalkan debu-debu hitam
jatuh persatu satu
dari kakimu

dakilah
dinding tinggi
menuju puncak
cahaya

hidup
tak perlu
mengalah mudah

kerana menang
adalah milik
sang pejuang

pantang berpaling
sebelum tadah
menyerah!

Khamis, 2008 November 27


sebuah sajak
Yusuf Fansuri
SONATA MUSIM LURUH
untuk sobatku nizal mohammad

perjalanan panjang
sering mengukur renung
melentur bijaksana

di benua jauh
memang begini terasing
tempat jatuh jua di mata

daun-daun luruh
jatuh dan melayah
dihembus deru dingin

pada waktu begini
makna sunyi mudah
dimengerti sifatnya

apa tertinggal
bersandar mampu
pada pohon usia


Jumaat, 2008 September 26














sebuah karya
Yusuf Fansuri
KOLEK KENCANA
- Untuk RZ

sobatku...
kitalah kolek kencana
dilambung ombak dunia
memancang layar upaya
agar tersasar tidak mudah

meski pengayuh di tangan
sesekali terseliuh juga
ganas lautan tak mudah
diduga akal manusia

wajib percaya luas semesta
berpandulah bintang-bintang ilahi
arah pasti tak akan ke mana
satu petunjuk ke destini sama

sobatku...
kitalah kolek kencana
tega dibadai gelora hidup
kerana kau dan aku tahu
akhirnya sauh akan berlabuh
di pelabuhan nyawa


Rabu, 2008 Ogos 13


GITA TIGA

karya Mahmoud Darwish


Satu hari pabila kata-kataku
adalah bumi…
Akulah sobat pada tangkai gandum

***

Satu hari pabila kata-kataku
adalah murka…
akulah sobat pada rantai

***

Satu hari pabila kata-kataku
adalah kelikir
Akulah sobat pada jeram air

***

Satu hari pabila kata-kataku
Adalah pemberontak
Akulah sobat pada bumi gempa

***

Satu hari pabila kata-kataku
adalah epal-epal pahit
Akulah sobat pada optimis

***

Tetapi pabila kata-kataku jadi
madu…
lebah mengerumuni
bibirku!

p/s Terjemahan bebas Yusuf Fansuri dari sajak bertajuk “Psalm Three”… sempena mengenang pemergian sasterawan besar Bumi Palestin “ Mahmoud Darwish" pada 9 Ogos 2008.

Rabu, 2008 Mei 07















sebuah karya

Yusuf Fansuri

SI TUKANG KEBUN

- Untuk sobatku Rahimidin Zahari


di garis khatul

kautulis kisah

jalan alam

kembara harap


menafsir isyarat

muslihat manusia

mukjizat tuhan


kau si tukang kebun

memilih subur benih

memugar batas umbur


kautahu rahsia

tanah sekepal

biar berfaedah


di garis hayat

kaupisah jelas

dunia dua

fana dan baqa.




















sebuah karya
yusuf fansuri

BARANGKALI

-Untuk Za'aba Sempena Hari Lahir

barangkali
lebih begini selesa
diam & memerhati

segala tanpa ikatan
segala tanpa huraian
di antara garisan

rindu tak perlu kata-kata
hanya perlu dirasa
seadanya

cinta tak perlu lafaz
hanya perlu disari inti
rahsianya

barangkali
mafatih kasmaran
magis suci tuhan.











Sebuah karya
Yusuf Fansuri

DENAI ANGIN

- untuk Abang Marsli N.O


jadilah denai angin
yang mendamai
resah tanah gundah

jadilah denai angin
yang membelai
kelikir di air

jadilah denai angin
yang mendingin
api di puncak nyala

jadilah denai angin
yang memberi
sejuta nyawa di udara